Wednesday 21 November 2012

Sanggup untuk yang di sana, tapi kenapa tidak sanggup untuk yang di sini?

Assalamualaikum dan selamat petang.

Tengahari tadi ketika di dalam kelas Transactions in Islamic Law 1, saya berbincang sedikit dengan pelajar-pelajar saya tentang isu boikot barang2 keluaran Israel termasuk isu memboikot McD. Kata saya, kita boleh membantu saudara seagama kita di Palestine dengan memberikan bantuan kewanga
n melalui derma dan bantuan lain2nya. Kata pelajar tersebut, "apa gunanya kita menderma kepada Palestine tetapi di dalam masa yang sama kita menyokong Israel dengan membeli di McD."


Saya memberitahu mereka, " 3 minggu lepas, seorang pelajar perempuan datang ke ofis saya dan meminta pendapat kerana ingin mengambil cuti selama satu semester. Bila ditanya kenapa hendak ambil cuti sedangkan peperiksaan tinggal beberapa minggu saja lagi? Katanya, " saya nak tolong emak ayah saya yang sedang dalam kesusahan."

Ayah kepada pelajar ini terlibat di dalam kemalangan jalanraya dan sekarang tidak dapat bekerja. Emaknya pula sekarang terpaksa bertungkus lumus bekerja mengusahakan kedai makan kerana perlu membayar hutang. Bukan hutang untuk mereka sekeluarga, tetapi hutang sebagai penjamin kepada seorang kawan. Dan kerana tidak mahu mendapat masalah, ayahnya telah membayar hutang itu sebanyak RM28,000. Habis semua wang simpanan si ayah kerana bimbang keluarganya akan diganggu oleh sipemberi pinjaman. Dan sekarang, pelajar ini sedang runsing kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran pengajian untuk semester ini.

Dan saya bertanya kepada pelajar-pelajar saya, "Kita sanggup untuk menderma dan menolong saudara seagama kita di Palestine, syria dan lain-lain negara. Saya nak tahu berapa ramai di antara kamu di dalam kelas ni yang sanggup menderma untuk membantu pelajar ini membayar yurannya?". Semuanya diam dan kelihatan ragu-ragu. Mungkin juga ada yang tidak percaya dengan cerita ini.

sama juga dengan apa yang berlaku 4 tahun yang lalu. seorang pelajar perempuan datang ke ofis saya untuk menggadaikan seutas rantai leher yang sangat halus kerana tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan harian. Ketika itu saya hanya mempunyai RM100 di dalam dompet. Kata saya, "ini saja wang yang saya ada sekarang, ambillah untuk buat belanja harian kamu." Tapi kata pelajar ini, "saya tak mahu ambil duit madam, tapi madam tolonglah terima rantai ini sebagai gadaian. Saya janji lepas dapat duit upah basuh pinggan di Mahallah .... (asrama di kampus), saya akan bayar duit madam."

saya masih ingat, menitis airmata saya ketika menerima rantai itu sebagai gadaian. dan saya juga masih ingat, ketika saya meminta seorang rakan untuk membantu pelajar ini, kata rakan saya, "jangan percaya cerita pelajar tu, bukannya boleh percaya sangat dengan student ni." Tapi alhamdulillah, dua minggu selepas itu pelajar yang menggadaikan rantainya itu datang memulangkan duit yang dipinjam dari saya.

Pilu hati bila mengenangkan semua ini. Kita sanggup membantu saudara2 seagama kita yang jauh di Palestine, Syria dan negara-negara lain. Tapi dengan orang yang dekat dengan kita, kita berkira dan kita sanggup pula menuduh mereka berbohong. Di mana silapnya perjuangan dan jihad kita? Tidak salah menyusukan anak orang lain, asalkan saja anak sendiri tidak kelaparan. Tidak salah membantu mereka yang dizalimi oleh Israel asal saja kita tidak melupakan mereka yang kesusahan di depan mata kita.

Islam mengajar kita, orang yang perlu dibantu ialah orang yang paling dekat dengan kita. Saudara mara kita, sahabat-sahabat kita dan orang yang memerlukan bantuan. Kenapa ada double standard di dalam jihad dan pengorbanan harta benda kita? adakah kerana kesusahan di sini tidak ada titisan darah dan tangisan maka kita rasakan tidak perlu membantu mereka?

Teruskanlah perjuangan membantu sahabat2 kita di Palestine, Syria dan lain-lain, tetapi jangan sampai kita berlaku tidak adil dan zalim kepada saudara2 dan sahabat2 kita yang memerlukan bantuan.

wassalam

0 comments:

Post a Comment