Monday 22 August 2011

 Assalamualaikum...
Saya amat meminati lirik lagu ini.Mengingatkan saya kepada zaman belajar di UM dulu. sorakan adik2, kak jah balik, kak jah balik..ye ye." Tapii adik2 yg selalu menyambut kepulangan saya di halaman rumah, telah kembali ke rahmatullah Rindu pada adik Nasir, adik shahrom, adik Suryati dan adik Suhaimi.
 

Sunday 14 August 2011

Jika aku Jatuh hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sajak ini didedikasikan kepada semua pelajarku dan sahabat yang sedang bercita-cita untuk menyintai seseorang atau yang sedang dilamun cinta. Dengarlah dan hayatilah.

Saturday 13 August 2011

Apabila memberi, berilah dengan ikhlas....apabila menerima, terimalah dengan ikhlas.

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua,



Budaya memberikan hadiah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah adalah perkara biasa dan dianggap satu kelaziman yang membentuk tradisi turun temurun terutamanya setiap kali sambutan Hari Guru. Bagaimanapun, di peringkat university perkara ini tidak digalakkan. Kenapa? Pertamanya kerana di university pensyarah-pensyarah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanda kertas peperiksaan dan memberi gred kepada pelajar-pelajar mereka. Satu kerja yang perlu dilakukan dengan amanah dan amat memerlukan ketelusan dan kejujuran seorang pensyarah. Keduanya kerana pelajar-pelajar universiti akan keluar bekerja dan mereka perlu dijauhkan daripada budaya memberi dan menerima yang akhirnya membawa kepada gejala rasuah.

Setiap kali semester baru bermula, kebiasaannya saya akan menggunakan kelas yang pertama untuk mengenalkan diri saya kepada pelajar-pelajar. Bagi saya pelajar-pelajar perlu tahu siapa guru atau pensyarah mereka. Seringkali saya menyebut, “Saya adalah anak sulung daripada 11 adik beradik (walaupun kini kami hanya tinggal 6 beradik). Jadi saya harap kamu faham bagaimana sikap dan karektor seorang anak sulung. Apatah lagi saya seorang anak sulung yang garang. Tapi segarang-garang saya, adik-adik saya boleh tidur di riba saya. Jadi kalau kamu jenis yang boleh tahan dengar leteran dan kena marah, bolehlah terus berada di dalam kelas saya. Kalau kamu tak suka dengar leteran sila ‘drop’ nama kamu dari kelas saya  dan carilah kelas lain.”

Satu lagi perkara yang tidak pernah saya lupa untuk menyebutnya ialah, “Selagi kamu masih menjadi pelajar saya, tolong jangan berikan apa-apa kepada saya. Saya tak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya walaupun hanya sekeping kad. Kalau kamu nak berikan hadiah kepada saya, berilah selepas kamu mendapat keputusan peperiksaan kamu. Saya nak lihat berapa ramai daripada kamu yang nak berikan hadiah kepada saya kalau kamu dapat C atau B dalam peperiksaan kamu.” Pelajar-pelajar saya hanya ketawa bila mendengar ‘permintaan’ saya itu.

Saya faham ada pelajar-pelajar yang memang ikhlas bila memberikan hadiah kepada pensyarah mereka. Namun tak dapat dinafikan ada juga pelajar-pelajar yang mempunyai niat lain apabila memberikan sesuatu kepada pensyarah mereka. Saya cukup sedih apabila pernah mendengar komen pelajar-pelajar yang menyebut bahawa, “kalau kau nak A atau A- dari pensyarah tu, kau berilah dia hadiah, kad atau apa saja. Mesti dia bagi kau A.” Satu penghinaan bagi saya apabila seorang pensyarah dikatakan mampu dibeli hanya dengan sekeping kad. Walhal saya yakin pensyarah itu ikhlas menerima dan dia pun tentu berfikir bahawa pelajar-pelajarnya yang memberikannya hadiah itu juga ikhlas dengan pemberian mereka.

Pernah sekali seorang pelajar saya pergi menunaikan umrah dan apabila dia pulang dari Mekah, dia tidak memberikan apa-apa. Saya berasa amat lega kerana saya takut untuk menolak pemberian mereka yang pulang dari menunaikan haji atau umrah. Tak disangka-sangka dua bulan selepas itu, (seminggu sebelum peperiksaan) pelajar tersebut mengirimkan sms kepada saya dan memberitahu dia ada meninggalkan sedikit hadiah di dalam kotak di luar pintu ofis saya. Menyirap darah saya waktu itu dan saya memberitahu dia, “bukankah saya dah pesan kepada semua pelajar saya, jangan berikan apa-apa kepada saya selagi masih belajar dengan saya?”  Pelajar itu hanya membalas sms saya dengan jawapan, “Hadiah itu saya beli semasa saya pergi umrah dulu madam.” Sekali lagi saya menjawab, “Kalau kamu ikhlas hendak memberikan hadiah itu, tentu kamu telah berikannya selepas kamu balik dari umrah dulu. Tapi kalau dua minggu lagi hendak exam dan baru kamu hendak memberikan hadiah itu, kamu memang tidak ikhlas. Apa kamu fikir saya boleh dibeli dengan hadiah? Minta maaf, saya tidak akan menerima hadiah kamu dan sila datang ambil semula hadiah itu.”

Bila saya ke pejabat saya dapati di dalam beg kertas itu ada sebotol air zamzam di bekas yang cantik dan seutas tasbih. Tapi kalau ditakhdirkan dia memberikan saya sebuah Quran dari Mekah pun saya tetap akan memulangkannya.Saya tidak akan menggadai prinsip hidup saya yang mengatakan saya tidak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya selagi mereka masih di dalam kelas saya. Berminggu-minggu hadiah itu saya biarkan di luar pejabat saya tetapi pelajar berkenaan tetap tidak datang mengambilnya. Akhirnya saya tekad memberikan hadiah itu kepada seorang pelajar lain. Dan saya mengirimkan sms kepada pelajar yang memberikan hadiah kepada saya, “Maafkan saya, hadiah yang kamu berikan kepada saya, telah saya berikan kepada orang lain. Maaf, saya bukan manusia yang boleh dibeli dengan hadiah. Ingatlah sampai bila-bila, kalau kamu mahu memberikan hadiah kepada sesiapa saja, pastikan niat kamu benar-benar ikhlas. Bukan ada niat lain di sebalik pemberian itu.”

Tentu ada yang terfikir sombongnya Dr Fauziah ni, kejamnya madam Fauziah ni. Saya bukan sombong atau kejam, tetapi ini soal harga diri dan prinsip hidup. Saya mahu mengajar pelajar-pelajar saya menjadi manusia yang ikhlas bila memberi. Saya mahu mendidik pelajar-pelajar saya, rasuah itu boleh bermula hanya dengan sekeping kad atau apa saja. Saya mahu pelajar-pelajar saya sentiasa ingat rasuah itu haram dan jangan sesekali memberi rasuah atau menerima rasuah.

Tapi satu kenangan manis yang tidak akan saya lupakan  ialah pemberian seorang pelajar yang pernah mengambil 3 subjek dengan saya. Pelajar ini memberikan hadiah sehelai kain batik Trengganu selepas dia tidak lagi menjadi pelajar saya. Yang lebih mengharukan saya ialah, dia bukannya pelajar yang dapt A, A- atau B+ tapi pelajar yang hanya mendapat C-, C+ dan B-. Dia tidak pernah menarik muka ketika dia mendapat C- di tahun pertama tetapi dia terus menjadi pelajar saya di tahun kedua dan tahun ketiga. Itulah pemberian paling ikhlas yang pernah saya dapat daripada seorang pelajar. Dan keikhlasan hatinya itu membuatkan saya terus rapat dan mesra dengan pelajar itu hingga sekarang walaupun dia telah lama meninggalkan UIA. Hingga sekarang setiap kali saya ke Kuala Trengganu, saya akan singgah di rumahnya di Padang Midin.

Saya juga amat bahagia apabila bertemu dengan seorang pelajar yang telah menjadi peguam dan memberitahu saya, “Madam, kuatnya cabaran rasuah di luar sana. Tapi alhamdulillah hingga sekarang saya masih ingat apa yang madam dan pensyarah-pensyarah lain di UIA ajar tentang rasuah kepada kami.” Syukur kerana masih ada pelajar-pelajar yang tetap ingat nasihat-nasihat guru/pensyarah mereka. Kepada pelajar-pelajar saya yang telah menamatkan pengajian di UIA, yang masih belajar dan yang akan menjadi pelajar saya, diharap kalian dapat memahami kenapa madam Fauziah mengajar anda sekeras ini. Hiduplah dengan bermaruah, dan jangan sesekali menggadaikan prinsip yang benar dengan kebendaan. Kalau memberi, berikanlah dengan ikhlas, kalau menerima terimalah juga dengan ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup semua.

Wassalam
Dr Fauziah

Wednesday 10 August 2011

Sedikit Coretan utk pelajarku, Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat.

Pantasnya masa berlalu, kini kita hampir tiba ke pertengahan bulan Ramadhan. Indahnya bulan Ramadhan yang dihiasi dengan solat terawih dan bacaan Quran. Tak lama lagi kita semua akan menyambut hariraya Aidilfitri. Selepas solat subuh pagi tadi, saya mencari Quran terjemahan untuk dibaca. Tetapi yang tercapai oleh tangan sebuah al-Quran yang dibalut dengan kertas bergambar bunga mawar dan dibalut dengan plastik dengan kemas. Tiba-tiba hati terasa sayu, sebab al-Quran itu adalah milik Allahyarhamhu pelajar saya, Muhammad Zumratullah Zakaria, pelajar saya yang terkorban di dalam nahas jalan raya di Gua Musang pada 3 atau 4 tahun lepas.

Allahyarhamhu Zumratullah menjadi pelajar saya ketika dia berada di tahun Satu dan tahun Tiga pengajian. Orangnya amat berbudi bahasa, penuh sopan santun dan mempunyai displin diri yang baik sebagai pelajar. Masih teringat wajahnya yang lembut, berkumis dan sentiasa tersenyum setiap kali bertembung dengannya di koridor Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim atau di cafe fakulti. Perkataan yg sentiasa dilafazkannya ialah "Assalamualaikum dan apa khabar madam?" Sering juga Allahyarhamhu singgah di pejabat saya dan bertanya khbar atau bercerita perkembangan dirinya. Sebulan sebelum di  kembali ke rahmatullah, banyak kali dia datang ke pejabat saya dan meminta pendapat saya tentang profesion seorang peguam. Antara soalannya, "Madam, betulkah jadi peguam itu hanya akan menempah tiket ke neraka? berdosakah saya kalau saya menjadi peguam?' Dan waktu itu boleh dikatakan setiap hari dia memakai baju putih dan seluar hitam. Allahyarhamhu turut memberitahu saya, "ayah saya tidak bersetuju dengan kerjaya seorang peguam madam. Tapi saya amat minat dengan profesion ini. Saya dah jumpa, ustaz Hamid Jusoh, dah jumpa madam Ramizah, sekarang saya nak dengar pendapat madam pula."

Kami berbincang panjang hari itu, saya sedar anak muda ini berdepan dengan konflik antara minat yang mendalam pada kerjaya sebagai peguam, sebagai seorang anak yang tidak mahu membantah kata-kata ibu dan ayah dan kesedaran tentang pahala dan dosa. Saya masih ingat saya memberitahu Allahyarhamhu Zumrah, "setiap kerjaya ada pahala dan dosa. Pahala jika dilakukan dengan penuh amanah dan kerana Allah. berdosa jika kita tidak amanah dan mengkhianati tugas kita. membela org yg salah mungkin akan jadi pahala jika kita berniat mahu memberi dia peluang untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Tapi kalau kita membela orang yang bersalah semata-mata kerana ingin duit dan ganjaran, berdosalah kita. kalau membela pula, janganlah sampai dia tidak dihukum langsung. mungkin daripada hukuman yang lebih berat menjadi hukuman yang lebih ringan.tapi apa pun mesti diniatkan kerana Allah Ta'ala."

Selepas itu kami tidak berjumpa lagi, tetapi 4 hari sebelum hariraya, saya bertembung dengannya ketika hendak ke kelas dan itulah pertama kali saya cuma melihat dia tersenyum tanpa memberi salam seperti biasa. Ketika di dalam kelas, sekali lagi saya melihat dia melintasi kelas. dari dalam kelas saya melihat Allahyarhamhu menoleh memandang ke arah saya di dalam kelas. biasanya, kalau pelajar2 saya memandang saya dari luar kelas, saya akan mengangkat tangan kepada mereka.Tapi hari itu saya tidak mengangkat tangan, saya cuma melihat dia memandang saya hingga dia hilang dari pandangan saya. Di dalam hati terdetik juga, kenapa Zumratullah ni pandang semacam saja?.

Dua hari sebelum Raya, Allahyarhamhu menghantar sms kepada saya, "Madam, selamt hariraya, maafkan segala salah dan silap saya jika ada. saya nak bertolak balik ke Kelantan malam ini lepas terawih." Saya bertanya dia, "kenapa tak tunggu siang saja?" Dan dia menjawab, "Tak apa, madam..memandu waktu malam tak panas sangat.". Saya cuma berdoa semoga dia dan kawanya selamat dalam perjalanan pulang untuk beraya bersama kelurga tercinta. Keesokan paginya, ketika hendak mendirikan solat Subuh, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang pelajar saya, (kalau tak silap Lukman mat Isa), "madam. zumratullah dah tak ada.Dia aksiden di Gua Musang. Jenazah masih di Hospital Gua Musang untuk dipost mortem. Kami akan ke rumahnya pagi ini madam."

Menitis airmata saya waktu dan saya terus menelefon sahabat saya Dr Ramizah. Di hujung talian, saya mendengar tangisan sahabat saya yang memberitahu, "saya dah tahu kak fauziah. Ni nak baca Quran untuk dia." Kami sama-sama menangis dan berita pemergian Zumratullah saya sebarkan kepada rakan-rakan saya waktu itu. Sepanjang hari itu suasana di Kulliyah Undang-undang menjadi suram dan ramai pensyarah yang mengatakan, "Budak tu budak baik...."
Hanya doa saya mengiringi pemergian Zumratullah, seorang pelajar saya yang amat berbudi bahasa, seorang pelajar dan anak yang baik.

Saya mencari kertas ujiannya yang pernah saya simpam kerana tertarik dengan tulisan jawinya yang cantik, tapi tidak berjumpa. Akhirnya saya memberitahu Lukman, "tolong minta izin daripada keluarga Zumratullah, saya nak minta simpan Quran atau sebuah buku dia sebagai kenang-kenangan." Dan akhirnya 3 minggu selepas Lukman memberikan sebuah al-Quran milik Allhayarhamhu kepada saya. dan pagi ini memori tentang Muhammad Zumratullah Zakaria bertandang lagi di minda saya. Tenanglah di sana adikku, semoga dia ditempatkan bersama mereka yang dikasihi dan diredhaiNYA. Hingga hari ini saya masih belum berkesempatan menziarahi pusaranya. InsyaAllah, panjang umur saya akan pergi ke Kelantan dan menziarahi pusaranya.

Kepada semua pelajar saya, ingatlah, apabila kita kembali kepada Allah, yang disebut oleh kawan-kawan kita, guru-guru kita ialah tentang akhlak kita. Mereka tidak akan menyebut "si fulan itu Dean's list student, cantik atau handsome.tetapi mereka akan menyebut kita baik atau tidak." Lalu janganlah merasa rendah diri jika tidak pernah mendapat gelaran Dean's List tetapi yang paling penting jagalah akhlak kita semasa masih hidup. Kepada yang selalu mendapt Dean'List pula, ingatlah itu cuma pengiktirafan manusia. Pengiktirafan hakiki ialah pengiktirafan daripada Allah tentang iman dan taqwa kita kepadaNYA.

Selamat meneruskan puasa di bulan yang mulia ini dan selalulah ingat, esok lusa mungkin giliran kita pula akan dijemput pulang ke sana. Sudah bersediakah kita...?  AL-FATIHAH utk Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.

Sunday 7 August 2011

Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran

Assalamualaikum,


perkara yang disebutkan di dalam suratkhabar tentang mereka yg kesusahan dan pergi mendaptkan bantuan gereja sebenarnya bukan perkara baru. Perkara ini telah lama berlaku. Cuma kadang-kadang masyarakat kita enggan menerima hakikat ini. Apabila Dato' Sri Harussani Zakaria bercakap tentang murtad, ramai yang mengatakan, tunjukkan kami bukti.jangan hanya sekadar pandai bermain dengan angka.Dato' Sri Harussani Zakaria dikatakan sengaja mereka-reka cerita tentang orang Melayu murtad.

Saiyidina Ali (r.a) pernah berkata, "Kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran." Bila saya menulis status tentang ibu tunggal yang terpaksa menyara anaknya yang baru bersalin dan ditinggalkan oleh si suami yang menjadi penagih dadah, ramai rakan FB cuma menulis, semoga wanita ini tabah menghadapi ujian ini.semoga wanita ini dapat bersabar menghadapi masalah yang berlaku,semoga wanita ini akan makin dekat dengan Allah dengan beristhgfar dan bergantung kepada Allah. Hanya dua orang yang bertanya, bagaimana kami boleh membantu mereka ini Dr?

Inilah kelemahan kita orang Islam, kita tidak merasakan tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan walaupun dengan sedikit bantuan. Kebanyakan daripada kita merasakan itu tanggungjawab Baitul Mal, pejabat zakat dan jabatan Kebajikan Masyarakat. Dan apabila kita tahu pihak lain yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka yang mempunyai masalah ini, kita melenting. Kita menuding jari sesama sendiri.


Mereka yang dalam kesusahan perlukan pertolongan dan bantuan samada dalam bentuk makanan atau kewangan. Penggantungan kepada Allah itu memang satu kemestian, tetapi membantu manusia yang di dalam kesusahan juga adalah satu kewajiban. Tak usahlah kita mengatakan mudah2an wanita itu akan lebih dekat dengan Allah dengan berzikir dan sebagainya.Ya, zikir dan munajat itu akan memberikan ketenangan hati dan jiwa, tetapi ada perut yang perlu diisi, ada bayi yang perlukan susu, ada anak-anak yang perlukan wang untuk meneruskan persekolahan. 


Pertolongan Allah memang ada, tetapi tak akan turun bulat-bulat dari langit. Pertolongan Allah akan datang dalam bentuk bantuan sesama manusia. Dan kalau kita hanya tahu bercakap tetapi terlalu berkira untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan, ke mana mereka ini akan membawa diri untuk mengadu?

Saya baru saja mendapatkan sedikit bantuan zakat untuk hariraya daripada Jabatan Perbankan Islam BSN untuk 20 orang asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya. Tetapi hanya untuk 20 orang....dan jumlah yang akan dibahagikan kepada mereka ini tidak sebanyak mana pun. Masing-masing hanya akan mendapat sekitar RM250 sahaja.


Di dalam kesempatan ini, saya merayu agar kita semua dapat menggembeling tenaga dan sama-sama berusaha untukmenyelamatkan saudara seagama kita yang memerlukan bantuan. Hidup kita bukan hanya untuk diri kita sahaja, tetapi juga untuk orang lain. mungkin orang akan berkata, kami pun bukan orang senang, kami pun bergaji kecil..macamana nak membantu orang lain. Kalau kita boleh menderma setiap orang RM10 sebulan utk tabung khas saja pun saya rasa kita akan dapat membantu ramai ibu tunggal dan mereka yang kesusahan.


Sampai bila kita nak mendengar orang Islam memohon bantuan, menadah pertolongan dari gereja? Di mana maruah kita sebagai umat Islam? Tahu apa perbezaan kita org Islam dengan mubaligh2 Kristian ini? Mereka mencari org yg susah itu, mereka mendekati dan menawarkan bantuan.Tapi kita termasuk org2 di pejabat zakat, baitul mal dan jabatan kebajikan masyarakat selalunya menunggu org susah mencari mereka. Kemudiannya, bermacam-macam prosedur pula menanti mereka yang memerlukan bantuan ini.


Sejujurnya tugas besar ini tidak boleh dilakukan dengan beberapa individu saja. ianya perlu dilakukan secara kolektif, secara beramai-ramai. Bangunlah untuk menolong agama kita, ini juga jihad sebenarnya. Kita berebut untuk menderma kepada Palestine, mangsa Tsunami dan sebagainya, tetapi adakah peranan kita untuk orang Islam di Malaysia ini hanya dengan membayar zakat setahun sekali sahaja?


Tepuk dada, tanyalah iman kita.


"Tidak akan sempurna iman seorang Muslim itu sehinggalah dia mengasihi orang lain seperti mengasihi dirinya sendiri." (makna sebuah hadis)

Dr Fauziah.