Saturday, 13 October 2012

Hikmah Sebuah Pernikahan

Assalamualaikum,


Selamat berhujung minggu untuk semua rakan FB saya dan mereka yang sudi menjadi suscriber untuk tulisan-tulisan saya. Siapalah saya kalau dibandingkan dengan nama-nama hebat seperti Hilal Ashraf, dan penulis2 lain yang terkenal. Apapun, sokongan kalian untuk terus bertinta di Muka Buku, saya sangat2 hargai dan saya ucapkan jutaan terima kasih.

Musim pernikahan masih belum selesai, bermula daripada hari raya puasa hinggalah sekarang. Dulu, kalau nak melangsungkan perkahwinan, orang-orang tua terutamanya orang kampung sangat memilih tarikh. Sebabnya mereka mahukan sanak saudara berkumpul dan sama-sama bergotong rorong memasak untuk kenduri. Majlis pernikahan dianggap sebagai masa paling sesuai untuk merapatkan hubungan persaudaraan, bak kata DJ RTM semasa saya kecil dulu, "yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan." tapi hari ini banyak faktor lain yang diambil kira apabila mahu mengadakan majlis perkahwinan.

Soal masak dan makanan tidak menjadi masalah lagi, kerana sangat banyak pilihan untuk memlih caterer dari yang termurah hinggalah yang termahal. tidak jadi masalah kepada yang nak memilih caterer, tetapi akan jadi masalah kepada pihak lelaki yang akan menghantar wang hantaran yang menjadi satu adat dan kewajiban orang Melayu di Malaysia. yang baru bekerja ada yang terpaksa berhutang demi nak menjaga air muka semasa hari kenduri. Malulah kat orang kalau tak ada door gift yang hebat-hebat, malulah kat orang kalau tak bersanding atau buat majlis resepsi di hotel atau dewan2 yang hebat. ada yang kata, tak mainlah buat majlis di dalam kawasan masjid atau di dewan komuniti yang sangat sederhana.

Allahu Rabbi, pernikahan itu untuk memberikan ketenangan hati, bukannya untuk menambahkan tension kerana berfikir tentang hutang dan sebagainya. Lainlah kalau kita nak berkahwin dengan putera atau puteri raja. Tapi apa nak buat, orang melayu telah sebati dengan perkataan raja sehari, jadi kenalah buat persiapan macam anak raja. teruskanlah budaya Raja Sehari asalkan saja tidak menjadi 'beraja di mata, bersultan di hati.'

Kepada semua pengantin baru,dan yang bakal menjadi pengantin, saya ucapkan selamat pengantin baru, semoga rumahtangga yang dibina bersama izin Allah dan restu ibubapa masing2 akan sentiasa dilimpahi dengan mawaddah dan rahmah. Cuma sebagai orang tua yang telah melalui suka duka, pahit manis alam rumahtangga, saya suka menasihatkan kalian...."Teori yang kita baca, yang kita ingin applykan di dalam alam rumahtangga kita memang sangat cantik dan sangat indah, sangat ideal. tetapi ada masanya, realiti kehidupan tidak seindah impian kita. Apapun, teruskan berdoa dan berusaha agar impian tidak tinggal impian. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat."

Ingatlah..pernikahan itu adalah give and take, tetapi kalau hanya asik give..give and give...bimbang satu hari nanti ada yang GIVE UP. Hidup berumahtangga ini perlu ada tolak ansur, bukan ditolak beransur-ansur. Suami dan isteri adalah rezeki dan amanah yang perlu dijaga sebaik-baik mungkin, kalau tidak dijaga dengan baik, tidak mustahil Allah akan mengambil semula amanah itu dan akan diberikan kepada orang yang lebih layak menjaganya.

Kepada ibubapa mertua, kakak ipar, abang ipar dan adik2 ipar...terimalah ahli baru di dalam keluarga anda dengan hati yang terbuka. Datangnya kerana dipinang bersendikan adat, hadirnya kerana ijab dan qabul yang melambangkan kerelaannya menjadi ahli keluarga kita...lalu, kasihilah menantu kita, kakak ipar kita, adik ipar kita, abang ipar kita, dengan hati yang penuh kasih sayang. bukan dengan penuh prasangka dan rasa curiga. Ingatlah, kalau tetamu yang datang bertandang pun wajib dilayan dengan baik, apatah lagi menantu yang akan menjaga anak kita dan bakal cucu2 kita, insyaAllah.

Kepada menantu2 pula..ingatlah, bila bernikah dengan suami atau isteri kita, kita bukan diberikan lesen untuk memutuskan pertalian keluarga. Seperti kata ustaz Don Danial yang sangat saya hormati, "menjadi tugas saya membahagiakan kedua-dua belah keluarga, kalau bahagia dia (isterinya)...bahagialah saya. kalau syurga dia, syurgalah saya." kata-kata yang sangat bermakna.

Dan selalulah ingat bila menjadi suami dan isteri, jangan hanya pandai menuntut hak kita, tapi tanyalah soalan...sudah tertunaikah kewajiban kita kepada suami atau isteri kita?



Selamat Pengantin baru dan semoga berbahagia selalu. Bahagia yang benar2 berlandaskan Quran dan Sunnah. Bukannya bahagia menurut kacamata barat.

wassalam
Dr/madam Fauziah,
AIKOL, IIUM

1 comments:

Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa said...

Terima kasih Ustazah atas nasihat, mengaplikasikan teori dalam kehidupan memang susah tetapi bukan bermakna ia lesen untuk berputus asa.

Jazakillahu khairan kathira

Post a Comment