Musim pernikahan masih belum selesai, bermula daripada hari raya puasa hinggalah sekarang. Dulu, kalau nak
melangsungkan perkahwinan, orang-orang tua terutamanya orang kampung
sangat memilih tarikh. Sebabnya mereka mahukan sanak saudara berkumpul
dan sama-sama bergotong rorong memasak untuk kenduri. Majlis pernikahan
dianggap sebagai masa paling sesuai untuk merapatkan hubungan
persaudaraan, bak kata DJ RTM semasa saya kecil dulu, "yang jauh kita
dekatkan, yang dekat kita mesrakan." tapi hari ini banyak faktor lain
yang diambil kira apabila mahu mengadakan majlis perkahwinan.
Soal masak dan makanan tidak menjadi masalah lagi, kerana sangat banyak
pilihan untuk memlih caterer dari yang termurah hinggalah yang termahal.
tidak jadi masalah kepada yang nak memilih caterer, tetapi akan jadi
masalah kepada pihak lelaki yang akan menghantar wang hantaran yang
menjadi satu adat dan kewajiban orang Melayu di Malaysia. yang baru
bekerja ada yang terpaksa berhutang demi nak menjaga air muka semasa
hari kenduri. Malulah kat orang kalau tak ada door gift yang
hebat-hebat, malulah kat orang kalau tak bersanding atau buat majlis
resepsi di hotel atau dewan2 yang hebat. ada yang kata, tak mainlah buat
majlis di dalam kawasan masjid atau di dewan komuniti yang sangat
sederhana.
Allahu Rabbi, pernikahan itu untuk memberikan
ketenangan hati, bukannya untuk menambahkan tension kerana berfikir
tentang hutang dan sebagainya. Lainlah kalau kita nak berkahwin dengan
putera atau puteri raja. Tapi apa nak buat, orang melayu telah sebati
dengan perkataan raja sehari, jadi kenalah buat persiapan macam anak
raja. teruskanlah budaya Raja Sehari asalkan saja tidak menjadi 'beraja
di mata, bersultan di hati.'
Kepada semua pengantin baru,dan
yang bakal menjadi pengantin, saya ucapkan selamat pengantin baru,
semoga rumahtangga yang dibina bersama izin Allah dan restu ibubapa
masing2 akan sentiasa dilimpahi dengan mawaddah dan rahmah. Cuma sebagai
orang tua yang telah melalui suka duka, pahit manis alam rumahtangga,
saya suka menasihatkan kalian...."Teori yang kita baca, yang kita ingin
applykan di dalam alam rumahtangga kita memang sangat cantik dan sangat
indah, sangat ideal. tetapi ada masanya, realiti kehidupan tidak seindah
impian kita. Apapun, teruskan berdoa dan berusaha agar impian tidak
tinggal impian. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat."
Ingatlah..pernikahan itu adalah give and take, tetapi kalau hanya asik
give..give and give...bimbang satu hari nanti ada yang GIVE UP. Hidup
berumahtangga ini perlu ada tolak ansur, bukan ditolak beransur-ansur.
Suami dan isteri adalah rezeki dan amanah yang perlu dijaga sebaik-baik
mungkin, kalau tidak dijaga dengan baik, tidak mustahil Allah akan
mengambil semula amanah itu dan akan diberikan kepada orang yang lebih
layak menjaganya.
Kepada ibubapa mertua, kakak ipar, abang ipar
dan adik2 ipar...terimalah ahli baru di dalam keluarga anda dengan hati
yang terbuka. Datangnya kerana dipinang bersendikan adat, hadirnya
kerana ijab dan qabul yang melambangkan kerelaannya menjadi ahli
keluarga kita...lalu, kasihilah menantu kita, kakak ipar kita, adik ipar
kita, abang ipar kita, dengan hati yang penuh kasih sayang. bukan
dengan penuh prasangka dan rasa curiga. Ingatlah, kalau tetamu yang
datang bertandang pun wajib dilayan dengan baik, apatah lagi menantu
yang akan menjaga anak kita dan bakal cucu2 kita, insyaAllah.
Kepada menantu2 pula..ingatlah, bila bernikah dengan suami atau isteri
kita, kita bukan diberikan lesen untuk memutuskan pertalian keluarga.
Seperti kata ustaz Don Danial yang sangat saya hormati, "menjadi tugas
saya membahagiakan kedua-dua belah keluarga, kalau bahagia dia
(isterinya)...bahagialah saya. kalau syurga dia, syurgalah saya."
kata-kata yang sangat bermakna.
Dan selalulah ingat bila
menjadi suami dan isteri, jangan hanya pandai menuntut hak kita, tapi
tanyalah soalan...sudah tertunaikah kewajiban kita kepada suami atau
isteri kita?
Selamat Pengantin baru dan semoga berbahagia
selalu. Bahagia yang benar2 berlandaskan Quran dan Sunnah. Bukannya
bahagia menurut kacamata barat.
wassalam
Dr/madam Fauziah,
AIKOL, IIUM
1 comments:
Terima kasih Ustazah atas nasihat, mengaplikasikan teori dalam kehidupan memang susah tetapi bukan bermakna ia lesen untuk berputus asa.
Jazakillahu khairan kathira
Post a Comment