Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua,
Budaya memberikan hadiah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah adalah perkara biasa dan dianggap satu kelaziman yang membentuk tradisi turun temurun terutamanya setiap kali sambutan Hari Guru. Bagaimanapun, di peringkat university perkara ini tidak digalakkan. Kenapa? Pertamanya kerana di university pensyarah-pensyarah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanda kertas peperiksaan dan memberi gred kepada pelajar-pelajar mereka. Satu kerja yang perlu dilakukan dengan amanah dan amat memerlukan ketelusan dan kejujuran seorang pensyarah. Keduanya kerana pelajar-pelajar universiti akan keluar bekerja dan mereka perlu dijauhkan daripada budaya memberi dan menerima yang akhirnya membawa kepada gejala rasuah.
Setiap kali semester baru bermula, kebiasaannya saya akan menggunakan kelas yang pertama untuk mengenalkan diri saya kepada pelajar-pelajar. Bagi saya pelajar-pelajar perlu tahu siapa guru atau pensyarah mereka. Seringkali saya menyebut, “Saya adalah anak sulung daripada 11 adik beradik (walaupun kini kami hanya tinggal 6 beradik). Jadi saya harap kamu faham bagaimana sikap dan karektor seorang anak sulung. Apatah lagi saya seorang anak sulung yang garang. Tapi segarang-garang saya, adik-adik saya boleh tidur di riba saya. Jadi kalau kamu jenis yang boleh tahan dengar leteran dan kena marah, bolehlah terus berada di dalam kelas saya. Kalau kamu tak suka dengar leteran sila ‘drop’ nama kamu dari kelas saya dan carilah kelas lain.”
Satu lagi perkara yang tidak pernah saya lupa untuk menyebutnya ialah, “Selagi kamu masih menjadi pelajar saya, tolong jangan berikan apa-apa kepada saya. Saya tak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya walaupun hanya sekeping kad. Kalau kamu nak berikan hadiah kepada saya, berilah selepas kamu mendapat keputusan peperiksaan kamu. Saya nak lihat berapa ramai daripada kamu yang nak berikan hadiah kepada saya kalau kamu dapat C atau B dalam peperiksaan kamu.” Pelajar-pelajar saya hanya ketawa bila mendengar ‘permintaan’ saya itu.
Saya faham ada pelajar-pelajar yang memang ikhlas bila memberikan hadiah kepada pensyarah mereka. Namun tak dapat dinafikan ada juga pelajar-pelajar yang mempunyai niat lain apabila memberikan sesuatu kepada pensyarah mereka. Saya cukup sedih apabila pernah mendengar komen pelajar-pelajar yang menyebut bahawa, “kalau kau nak A atau A- dari pensyarah tu, kau berilah dia hadiah, kad atau apa saja. Mesti dia bagi kau A.” Satu penghinaan bagi saya apabila seorang pensyarah dikatakan mampu dibeli hanya dengan sekeping kad. Walhal saya yakin pensyarah itu ikhlas menerima dan dia pun tentu berfikir bahawa pelajar-pelajarnya yang memberikannya hadiah itu juga ikhlas dengan pemberian mereka.
Pernah sekali seorang pelajar saya pergi menunaikan umrah dan apabila dia pulang dari Mekah, dia tidak memberikan apa-apa. Saya berasa amat lega kerana saya takut untuk menolak pemberian mereka yang pulang dari menunaikan haji atau umrah. Tak disangka-sangka dua bulan selepas itu, (seminggu sebelum peperiksaan) pelajar tersebut mengirimkan sms kepada saya dan memberitahu dia ada meninggalkan sedikit hadiah di dalam kotak di luar pintu ofis saya. Menyirap darah saya waktu itu dan saya memberitahu dia, “bukankah saya dah pesan kepada semua pelajar saya, jangan berikan apa-apa kepada saya selagi masih belajar dengan saya?” Pelajar itu hanya membalas sms saya dengan jawapan, “Hadiah itu saya beli semasa saya pergi umrah dulu madam.” Sekali lagi saya menjawab, “Kalau kamu ikhlas hendak memberikan hadiah itu, tentu kamu telah berikannya selepas kamu balik dari umrah dulu. Tapi kalau dua minggu lagi hendak exam dan baru kamu hendak memberikan hadiah itu, kamu memang tidak ikhlas. Apa kamu fikir saya boleh dibeli dengan hadiah? Minta maaf, saya tidak akan menerima hadiah kamu dan sila datang ambil semula hadiah itu.”
Bila saya ke pejabat saya dapati di dalam beg kertas itu ada sebotol air zamzam di bekas yang cantik dan seutas tasbih. Tapi kalau ditakhdirkan dia memberikan saya sebuah Quran dari Mekah pun saya tetap akan memulangkannya.Saya tidak akan menggadai prinsip hidup saya yang mengatakan saya tidak akan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar saya selagi mereka masih di dalam kelas saya. Berminggu-minggu hadiah itu saya biarkan di luar pejabat saya tetapi pelajar berkenaan tetap tidak datang mengambilnya. Akhirnya saya tekad memberikan hadiah itu kepada seorang pelajar lain. Dan saya mengirimkan sms kepada pelajar yang memberikan hadiah kepada saya, “Maafkan saya, hadiah yang kamu berikan kepada saya, telah saya berikan kepada orang lain. Maaf, saya bukan manusia yang boleh dibeli dengan hadiah. Ingatlah sampai bila-bila, kalau kamu mahu memberikan hadiah kepada sesiapa saja, pastikan niat kamu benar-benar ikhlas. Bukan ada niat lain di sebalik pemberian itu.”
Tentu ada yang terfikir sombongnya Dr Fauziah ni, kejamnya madam Fauziah ni. Saya bukan sombong atau kejam, tetapi ini soal harga diri dan prinsip hidup. Saya mahu mengajar pelajar-pelajar saya menjadi manusia yang ikhlas bila memberi. Saya mahu mendidik pelajar-pelajar saya, rasuah itu boleh bermula hanya dengan sekeping kad atau apa saja. Saya mahu pelajar-pelajar saya sentiasa ingat rasuah itu haram dan jangan sesekali memberi rasuah atau menerima rasuah.
Tapi satu kenangan manis yang tidak akan saya lupakan ialah pemberian seorang pelajar yang pernah mengambil 3 subjek dengan saya. Pelajar ini memberikan hadiah sehelai kain batik Trengganu selepas dia tidak lagi menjadi pelajar saya. Yang lebih mengharukan saya ialah, dia bukannya pelajar yang dapt A, A- atau B+ tapi pelajar yang hanya mendapat C-, C+ dan B-. Dia tidak pernah menarik muka ketika dia mendapat C- di tahun pertama tetapi dia terus menjadi pelajar saya di tahun kedua dan tahun ketiga. Itulah pemberian paling ikhlas yang pernah saya dapat daripada seorang pelajar. Dan keikhlasan hatinya itu membuatkan saya terus rapat dan mesra dengan pelajar itu hingga sekarang walaupun dia telah lama meninggalkan UIA. Hingga sekarang setiap kali saya ke Kuala Trengganu, saya akan singgah di rumahnya di Padang Midin.
Saya juga amat bahagia apabila bertemu dengan seorang pelajar yang telah menjadi peguam dan memberitahu saya, “Madam, kuatnya cabaran rasuah di luar sana. Tapi alhamdulillah hingga sekarang saya masih ingat apa yang madam dan pensyarah-pensyarah lain di UIA ajar tentang rasuah kepada kami.” Syukur kerana masih ada pelajar-pelajar yang tetap ingat nasihat-nasihat guru/pensyarah mereka. Kepada pelajar-pelajar saya yang telah menamatkan pengajian di UIA, yang masih belajar dan yang akan menjadi pelajar saya, diharap kalian dapat memahami kenapa madam Fauziah mengajar anda sekeras ini. Hiduplah dengan bermaruah, dan jangan sesekali menggadaikan prinsip yang benar dengan kebendaan. Kalau memberi, berikanlah dengan ikhlas, kalau menerima terimalah juga dengan ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup semua.
Wassalam
Dr Fauziah
DOA MASUK PASAR
6 years ago
5 comments:
mcm kenal je sapa student yg bg air zam zam tersebut...hehehe
Salam ustazah(^_^)suke bace entry ini....sy pun ada prinsip yg same ngn ustzh...say no to rasuah!!!rasuah hanya akan merendahkan moraliti n nilai keinsanan manusia...tp sy sedikit konfius coz...mcm mane nk ckp ye?cth mcm ni,kalau seseorg tu bg hadiah sbg tanda terima kasih n phargaan kpd seseorg tu mcm mane ustzh? coz dulu ckg2 sy ajar kite mst m'bls kbaikan yg org tu buat...sy takut tindakan sy beri hadiah termasuk dlm kategori rasuah padahal i just followed the sunnah n amalkn pesan guru tersebut...kadang2 sy lihat masyarakat kita ni keliru dgn nilai2 murni yg diterapkn sejak kecil...sy pun kecewa bila tau org tu baik je mase mereka kecil...tup2 bile da dewasa terjebak ngn rasuah...agak sedih sebenrnye...tp d mane silapnye...things to ponder n act...
terima kasih aisha humaira dan adibah. hadiah penghargaan ada beza dengan hadiah yg ada tujuan lain. lihatlah bila hadiah itu diberikan.
salam..sory..rasa mcm ada kurang...
pada saya kalau diorang nak bagi terpulang..
tapi kita jangan 'terkesan'..
me...
saya menulis nota ini kerana saya mendengar sendiri pelajar2 bercerita, " kalau kau bagi kad atau hadiah pada pensyarah a atau b, kau mesti dapat A atau A- dalam exam nanti."
maksudnya kalaupun pensysrah tidak terkesan atau dipengaruhi dengan hadiah2 yg diberikan, tapi persepsi students ialah pensyarah itu adalah pensyarah yang boleh dibeli dgn hadiah. bagi saya pensyarah undang2 Islam..saya berpegang teguh kepada prinsip "prevention is better than cure."
Post a Comment