Wednesday, 10 August 2011

Sedikit Coretan utk pelajarku, Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat.

Pantasnya masa berlalu, kini kita hampir tiba ke pertengahan bulan Ramadhan. Indahnya bulan Ramadhan yang dihiasi dengan solat terawih dan bacaan Quran. Tak lama lagi kita semua akan menyambut hariraya Aidilfitri. Selepas solat subuh pagi tadi, saya mencari Quran terjemahan untuk dibaca. Tetapi yang tercapai oleh tangan sebuah al-Quran yang dibalut dengan kertas bergambar bunga mawar dan dibalut dengan plastik dengan kemas. Tiba-tiba hati terasa sayu, sebab al-Quran itu adalah milik Allahyarhamhu pelajar saya, Muhammad Zumratullah Zakaria, pelajar saya yang terkorban di dalam nahas jalan raya di Gua Musang pada 3 atau 4 tahun lepas.

Allahyarhamhu Zumratullah menjadi pelajar saya ketika dia berada di tahun Satu dan tahun Tiga pengajian. Orangnya amat berbudi bahasa, penuh sopan santun dan mempunyai displin diri yang baik sebagai pelajar. Masih teringat wajahnya yang lembut, berkumis dan sentiasa tersenyum setiap kali bertembung dengannya di koridor Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim atau di cafe fakulti. Perkataan yg sentiasa dilafazkannya ialah "Assalamualaikum dan apa khabar madam?" Sering juga Allahyarhamhu singgah di pejabat saya dan bertanya khbar atau bercerita perkembangan dirinya. Sebulan sebelum di  kembali ke rahmatullah, banyak kali dia datang ke pejabat saya dan meminta pendapat saya tentang profesion seorang peguam. Antara soalannya, "Madam, betulkah jadi peguam itu hanya akan menempah tiket ke neraka? berdosakah saya kalau saya menjadi peguam?' Dan waktu itu boleh dikatakan setiap hari dia memakai baju putih dan seluar hitam. Allahyarhamhu turut memberitahu saya, "ayah saya tidak bersetuju dengan kerjaya seorang peguam madam. Tapi saya amat minat dengan profesion ini. Saya dah jumpa, ustaz Hamid Jusoh, dah jumpa madam Ramizah, sekarang saya nak dengar pendapat madam pula."

Kami berbincang panjang hari itu, saya sedar anak muda ini berdepan dengan konflik antara minat yang mendalam pada kerjaya sebagai peguam, sebagai seorang anak yang tidak mahu membantah kata-kata ibu dan ayah dan kesedaran tentang pahala dan dosa. Saya masih ingat saya memberitahu Allahyarhamhu Zumrah, "setiap kerjaya ada pahala dan dosa. Pahala jika dilakukan dengan penuh amanah dan kerana Allah. berdosa jika kita tidak amanah dan mengkhianati tugas kita. membela org yg salah mungkin akan jadi pahala jika kita berniat mahu memberi dia peluang untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Tapi kalau kita membela orang yang bersalah semata-mata kerana ingin duit dan ganjaran, berdosalah kita. kalau membela pula, janganlah sampai dia tidak dihukum langsung. mungkin daripada hukuman yang lebih berat menjadi hukuman yang lebih ringan.tapi apa pun mesti diniatkan kerana Allah Ta'ala."

Selepas itu kami tidak berjumpa lagi, tetapi 4 hari sebelum hariraya, saya bertembung dengannya ketika hendak ke kelas dan itulah pertama kali saya cuma melihat dia tersenyum tanpa memberi salam seperti biasa. Ketika di dalam kelas, sekali lagi saya melihat dia melintasi kelas. dari dalam kelas saya melihat Allahyarhamhu menoleh memandang ke arah saya di dalam kelas. biasanya, kalau pelajar2 saya memandang saya dari luar kelas, saya akan mengangkat tangan kepada mereka.Tapi hari itu saya tidak mengangkat tangan, saya cuma melihat dia memandang saya hingga dia hilang dari pandangan saya. Di dalam hati terdetik juga, kenapa Zumratullah ni pandang semacam saja?.

Dua hari sebelum Raya, Allahyarhamhu menghantar sms kepada saya, "Madam, selamt hariraya, maafkan segala salah dan silap saya jika ada. saya nak bertolak balik ke Kelantan malam ini lepas terawih." Saya bertanya dia, "kenapa tak tunggu siang saja?" Dan dia menjawab, "Tak apa, madam..memandu waktu malam tak panas sangat.". Saya cuma berdoa semoga dia dan kawanya selamat dalam perjalanan pulang untuk beraya bersama kelurga tercinta. Keesokan paginya, ketika hendak mendirikan solat Subuh, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang pelajar saya, (kalau tak silap Lukman mat Isa), "madam. zumratullah dah tak ada.Dia aksiden di Gua Musang. Jenazah masih di Hospital Gua Musang untuk dipost mortem. Kami akan ke rumahnya pagi ini madam."

Menitis airmata saya waktu dan saya terus menelefon sahabat saya Dr Ramizah. Di hujung talian, saya mendengar tangisan sahabat saya yang memberitahu, "saya dah tahu kak fauziah. Ni nak baca Quran untuk dia." Kami sama-sama menangis dan berita pemergian Zumratullah saya sebarkan kepada rakan-rakan saya waktu itu. Sepanjang hari itu suasana di Kulliyah Undang-undang menjadi suram dan ramai pensyarah yang mengatakan, "Budak tu budak baik...."
Hanya doa saya mengiringi pemergian Zumratullah, seorang pelajar saya yang amat berbudi bahasa, seorang pelajar dan anak yang baik.

Saya mencari kertas ujiannya yang pernah saya simpam kerana tertarik dengan tulisan jawinya yang cantik, tapi tidak berjumpa. Akhirnya saya memberitahu Lukman, "tolong minta izin daripada keluarga Zumratullah, saya nak minta simpan Quran atau sebuah buku dia sebagai kenang-kenangan." Dan akhirnya 3 minggu selepas Lukman memberikan sebuah al-Quran milik Allhayarhamhu kepada saya. dan pagi ini memori tentang Muhammad Zumratullah Zakaria bertandang lagi di minda saya. Tenanglah di sana adikku, semoga dia ditempatkan bersama mereka yang dikasihi dan diredhaiNYA. Hingga hari ini saya masih belum berkesempatan menziarahi pusaranya. InsyaAllah, panjang umur saya akan pergi ke Kelantan dan menziarahi pusaranya.

Kepada semua pelajar saya, ingatlah, apabila kita kembali kepada Allah, yang disebut oleh kawan-kawan kita, guru-guru kita ialah tentang akhlak kita. Mereka tidak akan menyebut "si fulan itu Dean's list student, cantik atau handsome.tetapi mereka akan menyebut kita baik atau tidak." Lalu janganlah merasa rendah diri jika tidak pernah mendapat gelaran Dean's List tetapi yang paling penting jagalah akhlak kita semasa masih hidup. Kepada yang selalu mendapt Dean'List pula, ingatlah itu cuma pengiktirafan manusia. Pengiktirafan hakiki ialah pengiktirafan daripada Allah tentang iman dan taqwa kita kepadaNYA.

Selamat meneruskan puasa di bulan yang mulia ini dan selalulah ingat, esok lusa mungkin giliran kita pula akan dijemput pulang ke sana. Sudah bersediakah kita...?  AL-FATIHAH utk Allahyarhamhu Muhammad Zumratullah Zakaria.

4 comments:

♥ adibah mazlan ♥ said...

al fatihah buat arwah.. terharu baca cerita ini puan..

ojah said...

alfatihah.. thanks for sharing.

mim said...

Entah Kenapa...
Walaupun saya tak kenal Allahyarham...
tapi air mata menitik-nitik bagai saya rapat benar dengan dia....
Al-Fatihah

Fauziah said...

terima kasih utk semua yg membaca tulisan ini. percaya atau tidak, ketika saya menulis artikel ini, saya langsung tidak menangis, tapi hanya menangis di dalam hati.

Post a Comment