Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ketiga di di Alor Merah, Alor Setar. Pagi yang tenang tanpa bunyi kenderaan yang bertali arus, dan diindahkan lagi dengan kehijauan pokok-pokok yang menghijau yang menyejukkan mata. Bunyi itik2 angsa yang dipelihara oleh sang suami di belakang rumah menggamit memori
saya ketika kecil dulu. Setiap kali balik ke kampung ayah saya di Tasik Cempedak, saya sangat suka mengusik itik-itik angsa yang dibela oleh jiran nenek saya. Kadang2 saya, adik saya Habibah dan sepupu2 saya ke rumah jiran mengusik beruk peliharaan Allahyarham pak Long Awang. Dan setiap kali balik kampung, tempat yang wajib dilawati ialah sungai di hujung kampung. Terjun dari jambatan dan mandi-manda di sungai sampai kecut kaki tangan. Mungkin itu salah satu sebab kenapa jiwa saya sangat mencintai dan merindui suasana kampung dan diwarisi pulak oleh anak-anak saya.
Kenapa saya menyebut Sang Suami bukan si suami? sejak kecil kita sudah diajar dengan kalimah Sang Kancil, binatang yang dikenali dengan sifat pintar dan cerdik, hingga ada perumpamaan dalam masyarakat Melayu yang berbunyi, "Cerdik seperti Sang Kancil, Bodoh seperti Lembu." Kata Ustazah saya, Ustazah Dr Paezah, sangat layak seorang suami dipanggil 'Sang Suami', kerana seorang suami seharusnya pintar dan bijak dalam menjalankan tanggungjawab seorang suami dan seorang ayah." Seorang lelaki tidak boleh menjadi seperti seekor lembu yang dicucuk hidungnya dan hanya tahu mengunyah rumput dari pagi hingga ke malam.
Saya mendapat satu mesej yang bertanya saya, "Mampukah seorang suami yang hanya memiliki SPM menanggung nafkah/maintain saya yang punya high taste ini?" Sejujurnya saya tersenyum sendiri bila ditanyakan soalan itu kerana ketika soalan itu diajukan kepada saya, saya pensyarah yang memiliki Phd juga akan bernikah dengan seroang lelaki yang memiliki SPM. Cuma bezanya, Madam/Dr fauziah ini bukan dari kalangan yang high taste atau bercita rasa tinggi. Mungkin kerana saya datang dari keluarga yang miskin dan sudah biasa dengan kesusahan sejak kecil. Seorang kanak-kanak yang menjual nasi lemak pada waktu pagi dan menjual kuih-muih pada waktu petang. Anak seorang buruh kilang getah dan ibu yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa.
High taste? Pakaian, kasut, beg tangan, makan minum semuanya mesti berjenama hebat2 dan lain dari orang lain? Bagi saya senang saja nak menjawab soalan ini, kalau sudah tahu citarasa tinggi, carilah suami yang kaya raya. Tapi ada orang akan jawab, "nak buat macamana, dah jodoh dengan orang yang ada SPM saja." Haa...kalau tahu jodoh kita dengan orang ada SPM saja, jadi pandai-pandailah bawa diri. Kalau nak terus hidup dengan sifat high taste dan bercitarasa tinggi tu, gunakanlah duit sendiri. Jangan dibebankan suami yang bergaji rendah. Bagi saya, kalau kita sayangkan suami kita, jangan susahkan suami kita baik di dunia mahupun di akhirat.
Pengalaman saya yang lepas, saya tidak pernah meminta-minta. Saya tidak pernah kecur air liur melihat kawan2 memakai jenama mewah atau hidup mewah. Bagi saya, apa yang ada sudah cukup sampai adik-adik mengatakan saya ni sangat lekeh. Saya tidak pernah minum di Starbuck, Coffee Bean atau kedai-kedai kopi berjenama. Saya hanya membeli beg tangan setiap kali menyambut Hari Raya Puasa saja. Dan saya hanya menempah baju atau membeli pakaian setiap kali menyambut Aidil fitri. Tapi untuk anak-anak memang saya belikan setiap bulan dan dari jenama biasa saja. Cuma setiap kali hari raya, saya memang akan belikan pakaian berjenama untuk anak-anak saya kerana saya mempunyai 3 orang anak lelaki.
Baju Angah yang dibeli ketika dia kanak-kanak dulu masih boleh dipakai oleh adik2 hingga sekarang walaupun dia sudah berumur 17 tahun. Baju anak-anak perempuan pun sama, dibeli yang berjenama kerana selepas itu baju itu akan diberikan kepada sepupu2 perempuan yang masih kecil atau didermakan kepada mereka yang memerlukan pakaian terpakai. Dan alhamdulillah, hingga hari ini anak-anak sudah faham, walaupun baju mereka masih baru tapi kalau sudah tidak muat dengan tubuh mereka, pakaian2 tu akan diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Kerana Islam mengajar kita kalau mahu bersedekah, berikanlah yang masih elok dan yang kita sayang. Bukannya memberikan pakain yang sudah boleh dibuat kain pengelap lantai atau yang sudah koyak.
Hingga hari ini saya tidak pernah rasa Fruity Tutty dan begitu juga dengan anak-anak saya. Syukur kerana anak-anak saya tidak pula meminta. Setiap bulan saya hanya membenarkan anak-anak saya makan di KFC, McDonald atau Pizza hut sebulan sekali sahaja. Bukan berkira, tapi kena berkira-kira sebab gaji ibu mereka bukan besar mana pun. Handfon saya berharga RM250 dan sudah digunakan sejak 4 tahun yang lalu. Pakai saja sampai rosak, baru tukar. Samsung Galaxy tab itu pun saya baru beli sebab dah tak berdaya nak bawa laptop ke hulu dan ke hilir. Tenaga dah tak macam dulu, boleh dukung anak, bawa beg dan macam-macam sekali gus.
Teruknya Dr Fauziah ni? Bukan teruk..saya tidak mahu menjadi seorang wanita dan isteri yang menyusahkan suami. Tidak mahu anak-anak perempuan saya menyusahkan bakal suami mereka pula. Saya boleh nak berbelanja mewah, tapi kalau saya berbelanja mewah..maksudnya saya tidak akan mampu nak membantu ibu2 tunggal dan ibu2 tinggal yang miskin, tidak akan mampu membantu anak-anak yatim, tidak akan mampu membantu orang-orang Islam di negara lain. Hidup kita bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga untuk orang lain dan paling penting adalah untuk ISLAM yang dicintai.
Kesimpulannya hanya satu, kalau anda adalah wanita yang bercitarasa tinggi, carilah jodoh yang mampu memenuhi selera anda. Jangan dibebankan suami dengan permintaan yang bukan-bukan. Jangan sampai jadi seperti Ali Baba Bujang Lapok yang dialognya, "Orang beli baju baru dia pun mahu baju baru, orang beli rumah baru, dia pun rumah baru.." Last-last, suami tu minta diculik oleh penyamun. Dan paling haru pada hari ni sebab nak puaskan hati isteri yang high taste, ada suami terpaksa berkawan dengan along dan akhirnya menggali kubur sendiri. Ada juga suami yang terpaksa makan rasuah semata-mata nak penuhi impian isteri yang high taste.
Jadi, kalau anda dari kalangan wanita bercitarasa tinggi, carilah duit sendiri dan belilah apa yang anda inginkan. Buatlah bisnes yang halal dan dapat membantu anda dan keluarga. Dan para suami pula, jangan diajar isteri dengan hidup mewah kerana bimbang kalau di masa ekonomi merudum nanti, isteri dan anak-anak tidak mampu bertahan dengan ujian kesusahan.
Sampai di sini dulu. yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari saya sendiri.
Madam/Dr Fauziah
Alor Merah, Alor Setar.
0 comments:
Post a Comment