Bismillahirahmanirahim...
Satu hari ketika hendak ke kelas, saya terserempak dengan seorang pelajar perempuan yang pernah belajar dengan saya. Saya memberi salam kepadanya dan bertanya, “S… apa khabar?”. Ketika itu saya dapat melihat ada riak perubahan di wajahnya dan dia merenung tepat ke muka saya. Saya terus bertanya, “kenapa S?”. Dia menjawab, “Madam, saya terharu kerana madam masih ingat nama saya. Saya sangkakan madam tak ingat lagi nama saya.” Saya cuma tersenyum dan memberitahu S, “Alhamdulillah, saya masih ingat nama pelajar-pelajar saya. Kalau saya terlupa nama pun, wajah mereka tetap saya ingat.” S tersenyum dan berkata, “Madam, selalunya pensyarah hanya ingat nama pelajar-pelajar yang bijak dan pelajar yang dapat Anugerah Dekan (Dean’s List) sahaja. Saya gembira sangat kerana madam masih ingat nama saya.”
Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya waktu itu. Seperti ada perasaan sayu yang menghiris hati bila mendengar kata-kata tersebut. Saya sempat memberitahu dia, “S..pensyarah sayangkan semua pelajar mereka. Cuma kadang-kadang mereka tidak dapat mengingati semua nama pelajar mereka. Dan kalau mereka tidak dapat ingat nama kamu, bukan bermakna kamu tidak bijak, tetapi itu adalah kerana kelemahan kami sendiri.” S melemparkan senyuman penuh bermakna kepada saya sebelum dia melangkah pergi.
Pertemuan dan perbualan saya dengan S hari itu masih terpahat di fikiran saya hingga hari ini. Perbualan yang ringkas itu mengingatkan saya kepada sebuah buku yang pernah saya baca, “How to Win Friends and People”. Di antara isi kandungan buku itu penulis buku itu menyebut, “jika ingin memenangi hati kawan2 dan manusia, ingatlah nama mereka”. Terus terang, saya tidak pernah terpengaruh dengan tulisan buku ini, tetapi sebagai pensyarah atau seorang guru, saya merasakan adalah amat wajar bagi para pendidik untuk cuba mengingati nama pelajar-pelajar mereka.Kalau saya berasa gembira apabila guru atau pensyarah saya dapat mengingati nama saya, sudah tentu pelajar-pelajar saya juga mempunyai perasaan yang sama bila guru atau pensyarah mereka ingat nama mereka. Islam juga mengajar kita supaya memanggil nama orang lain dengan panggilan yang baik dan panggilan yang disukainya.
Kadang-kadang ada juga pensyarah yang merasakan tidak perlu mengingati nama pelajar-pelajar mereka. Ada juga yang merasakan tidak perlu bersusah-payah untuk mengingati nama pelajar-pelajar, hanya membuang masa. Padahal bila kita dapat mengingati nama pelajar-pelajar, mereka akan merasakan mereka lebih disayangi dan dihargai. Apabila ada perasaan disayangi dan dihargai, hubungan yang baik akan terjalin di antara guru/pensyarah dan pelajar-pelajar. Dan apabila ada hubungan yang baik itu akan lebih mudah tugas kita untuk mendidik dan memberi nasihat. Justeru itu, untuk semua yang bergelar pendidik, cubalah mengingati nama pelajar-pelajar kita tanpa mengira siapa mereka. setiap insan perlu dihormati dan disayangi.
KHAWARIJ
6 years ago
0 comments:
Post a Comment