Sunday 7 August 2011

Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran

Assalamualaikum,


perkara yang disebutkan di dalam suratkhabar tentang mereka yg kesusahan dan pergi mendaptkan bantuan gereja sebenarnya bukan perkara baru. Perkara ini telah lama berlaku. Cuma kadang-kadang masyarakat kita enggan menerima hakikat ini. Apabila Dato' Sri Harussani Zakaria bercakap tentang murtad, ramai yang mengatakan, tunjukkan kami bukti.jangan hanya sekadar pandai bermain dengan angka.Dato' Sri Harussani Zakaria dikatakan sengaja mereka-reka cerita tentang orang Melayu murtad.

Saiyidina Ali (r.a) pernah berkata, "Kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran." Bila saya menulis status tentang ibu tunggal yang terpaksa menyara anaknya yang baru bersalin dan ditinggalkan oleh si suami yang menjadi penagih dadah, ramai rakan FB cuma menulis, semoga wanita ini tabah menghadapi ujian ini.semoga wanita ini dapat bersabar menghadapi masalah yang berlaku,semoga wanita ini akan makin dekat dengan Allah dengan beristhgfar dan bergantung kepada Allah. Hanya dua orang yang bertanya, bagaimana kami boleh membantu mereka ini Dr?

Inilah kelemahan kita orang Islam, kita tidak merasakan tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan walaupun dengan sedikit bantuan. Kebanyakan daripada kita merasakan itu tanggungjawab Baitul Mal, pejabat zakat dan jabatan Kebajikan Masyarakat. Dan apabila kita tahu pihak lain yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka yang mempunyai masalah ini, kita melenting. Kita menuding jari sesama sendiri.


Mereka yang dalam kesusahan perlukan pertolongan dan bantuan samada dalam bentuk makanan atau kewangan. Penggantungan kepada Allah itu memang satu kemestian, tetapi membantu manusia yang di dalam kesusahan juga adalah satu kewajiban. Tak usahlah kita mengatakan mudah2an wanita itu akan lebih dekat dengan Allah dengan berzikir dan sebagainya.Ya, zikir dan munajat itu akan memberikan ketenangan hati dan jiwa, tetapi ada perut yang perlu diisi, ada bayi yang perlukan susu, ada anak-anak yang perlukan wang untuk meneruskan persekolahan. 


Pertolongan Allah memang ada, tetapi tak akan turun bulat-bulat dari langit. Pertolongan Allah akan datang dalam bentuk bantuan sesama manusia. Dan kalau kita hanya tahu bercakap tetapi terlalu berkira untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan, ke mana mereka ini akan membawa diri untuk mengadu?

Saya baru saja mendapatkan sedikit bantuan zakat untuk hariraya daripada Jabatan Perbankan Islam BSN untuk 20 orang asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya. Tetapi hanya untuk 20 orang....dan jumlah yang akan dibahagikan kepada mereka ini tidak sebanyak mana pun. Masing-masing hanya akan mendapat sekitar RM250 sahaja.


Di dalam kesempatan ini, saya merayu agar kita semua dapat menggembeling tenaga dan sama-sama berusaha untukmenyelamatkan saudara seagama kita yang memerlukan bantuan. Hidup kita bukan hanya untuk diri kita sahaja, tetapi juga untuk orang lain. mungkin orang akan berkata, kami pun bukan orang senang, kami pun bergaji kecil..macamana nak membantu orang lain. Kalau kita boleh menderma setiap orang RM10 sebulan utk tabung khas saja pun saya rasa kita akan dapat membantu ramai ibu tunggal dan mereka yang kesusahan.


Sampai bila kita nak mendengar orang Islam memohon bantuan, menadah pertolongan dari gereja? Di mana maruah kita sebagai umat Islam? Tahu apa perbezaan kita org Islam dengan mubaligh2 Kristian ini? Mereka mencari org yg susah itu, mereka mendekati dan menawarkan bantuan.Tapi kita termasuk org2 di pejabat zakat, baitul mal dan jabatan kebajikan masyarakat selalunya menunggu org susah mencari mereka. Kemudiannya, bermacam-macam prosedur pula menanti mereka yang memerlukan bantuan ini.


Sejujurnya tugas besar ini tidak boleh dilakukan dengan beberapa individu saja. ianya perlu dilakukan secara kolektif, secara beramai-ramai. Bangunlah untuk menolong agama kita, ini juga jihad sebenarnya. Kita berebut untuk menderma kepada Palestine, mangsa Tsunami dan sebagainya, tetapi adakah peranan kita untuk orang Islam di Malaysia ini hanya dengan membayar zakat setahun sekali sahaja?


Tepuk dada, tanyalah iman kita.


"Tidak akan sempurna iman seorang Muslim itu sehinggalah dia mengasihi orang lain seperti mengasihi dirinya sendiri." (makna sebuah hadis)

Dr Fauziah.

1 comments:

wadironi said...

Assallamualaikum ,
Semoga diluar sana ada lagi tangan tangan ghaib yang teguh akalbudinya memanjangkan kemanfaatan ilmu dan saran , melestarikan persekitaran mediabaru demi keutamaan Islam dan peradabannya .

Alhamdulillah , damainya aksara ini pasti mampu menggamit manfaat dan mendidik kesuksesan Muslim . InsyaAllah.

Post a Comment